OPERASI LONDON BRIDGE


OPERASI LONDON BRIDGE

Aina Mastura dan Nurul Syahida Hassan

~London bridge is falling down...
Falling down, falling down
London Bridge is falling down
My fair lady~

Terkenang lagu ini yang menjadi siulan zaman kanak-kanak. Apatah lagi dinyanyikan sewaktu bermain dengan rakan sebaya. Rupa-rupanya, itu bukan sekadar lagu. Ada maksud di sebalik lagu popular itu. Dunia digemparkan dengan berita kemangkatan Ratu England, Ratu Elizabeth II pada 8 September 2022. Ratu Elizabeth II mangkat pada usia 96 tahun selepas dilaporkan menghidap ‘episodic mobility problems’, sejak hujung tahun lalu. Baginda mangkat dengan tenang di Istana Balmoral, Scotland.

Ratu Elizabeth II merupakan pemerintah paling lama di England dan mana-mana sistem monarki di dunia iaitu selama 70 tahun dan 214 hari; satu tempoh pemerintahan yang mencipta rekod sejarah dalam kalangan kerabat diraja di Britain sejak tahun 1952. Ratu Elizabeth dilahirkan pada 21 April 1926 dan memegang takhta sebagai pemerintah ketika usianya 25 tahun. Ratu Elizabeth baru sahaja meraikan sambutan Jubli Platinum ke-70 pada bulan Mei 2022 yang lalu.

Kemangkatan Ratu Elizabeth II juga membawa maksud bermulanya Operasi London Bridge. London Bridge ialah kod atau kata laluan untuk perancangan upacara pengebumian yang akan dilakukan dalam beberapa minggu atau bulan selepas kemangkatan Ratu Elizabeth II. Upacara pengebumian mengambil masa selama 10 hingga 12 hari selepas Ratu Elizabeth mangkat. Tepat jam 11.00 pagi, Menara Jam Big Ben membunyikan locengnya dan seluruh negara mula bertafakur sebagai penghormatan buat ratu mereka. Dalam tempoh setahun selepas pemakaman diraja, upacara pertabalan rasmi Raja Charles akan berlangsung. Operasi pengurusan kemangkatan ratu ini juga dinamakan Operasi Unicorn kerana kemangkatan baginda ratu di Scotland.

Sepanjang tempoh pemerintahannya, Ratu Elizabeth menjalinkan hubungan baik dengan negara-negara yang pernah menjadi tanah jajahannya termasuklah Malaysia. Baginda ratu pernah melawat Malaysia sebanyak dua kali, iaitu ketika Malaysia menjadi tuan rumah Mesyuarat Ketua-Ketua Negara Komanwel dan pada Sukan Komanwel ketika berada bawah pentadbiran Tun Mahathir Mohamad.

Sejak zaman Bapa Kemerdekaan Negara Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Ratu Elizabeth II menganggap Malaysia sebagai salah satu negara yang digemarinya. Menurut anak saudara Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj, Tunku Sofiah Jewa, beliau mengatakan Ratu Elizabeth dan bapa saudaranya mempunyai hubungan yang baik. Semasa gambar kumpulan Perdana Menteri Komanwel diambil di Istana Buckingham, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mendapat tempat duduk yang khas di sebelah kanan Ratu Elizabeth II.

Konsep-konsep raja berperlembagaan dan kedaulatan undang-undang yang dilaksanakan di Malaysia adalah mencontohi pemerintahan British. Konsep ini yang turut digunakan oleh negara-negara yang pernah menjadi tanah jajahan Empayar British. Konsep ini dilihat sebagai salah satu cara pentadbiran demokrasi moden dalam mewujudkan sebuah pentadbiran negara yang tersusun.

Melalui kesan jajahan British ini juga, wujudnya sebuah perikatan yang dikenali sebagai Komanwel, iaitu sebuah perikatan negara-negara merdeka yang pernah diperintah oleh British, dan mengiktiraf Raja British sebagai ketua Komanwel. Melalui pemerintahan dan seliaan Ratu Elizabeth II, negara-negara Komanwel ini terjaga rapi. Terdapat wakil negara-negara Komanwel yang menyatakan kebimbangan mereka terhadap Raja Charles III sebagai pemerintah baharu British. Ada yang berfikir bahawa Komanwel memerlukan idea baharu dan hala tuju baharu untuk memastikan kestabilan yang diperoleh ketika ini. Para pemimpin bimbang sekiranya terdapat pergolakan atau percanggahan idea yang akan berlaku melalui pemerintahan baharu ini. Raja Charles III bakal membawa perubahan yang besar terhadap negara-negara Komanwel sekiranya baginda tidak mengikut rentak pemerintahan yang sama dengan mendiang Ratu Elizabeth II.

Sedikit trivia tentang Ratu Elizabeth II. Diberi nama Elizabeth Alexandra Mary, baginda dilahirkan di Mayfair, London. Merupakan anakanda pertama untuk pasangan Duke York dan Duchess York (kemudian digelar Raja George VI dan Ratu Elizabeth). Ayahandanya menaiki takhta diraja pada tahun 1936 setelah paduka kekandanya turun takhta iaitu Raja Edward VIII, menjadikan Elizabeth sebagai pewaris takhta. Ratu Elizabeth mendapat pendidikan secara persendirian di rumahnya dan mula menjalankan tugas awam semasa Perang Dunia Kedua serta berkhidmat dalam Perkhidmatan Wilayah Bantuan.

Pada November 1947, baginda berkahwin dengan Philip Mountbatten, seorang bekas putera raja Greece dan Denmark, dan perkahwinan mereka bertahan selama 73 tahun sehingga kemangkatan Philip pada April 2021. Baginda berdua mempunyai empat anak bersama: Charles III; Anne, Puteri Diraja; Putera Andrew, Duke York; dan Putera Edward, Earl Wessex.

Kemangkatan ayahandanya pada Februari 1952 menjadikan Ratu Elizabeth sebagai permaisuri dan Ketua Komanwel untuk tujuh negara Komanwel yang merdeka iaitu United Kingdom, Kanada, Australia, New Zealand, Pakistan, Ceylon (Sri Lanka) dan Afrika Selatan. Ratu Elizabeth juga menjadi saksi dalam tempoh pemerintahannya pelbagai perubahan besar dalam politik negara-negara jajahannya, antaranya ‘The Troubles’ di Ireland Utara, dekolonisasi di Afrika dan konflik politik di United Kingdom serta penarikan United Kingdom daripada Kesatuan Eropah. Pengaruh keluarga diraja Ratu England sungguh besar terutama dalam iklim politik dunia. Kemangkatan baginda memberi kesan kepada ekonomi seluruh dunia terutama di tanah British.

Menurut laporan media, jasad Ratu Elizabeth II kini berada di London dan ditempatkan di Istana Buckingham sehingga istiadat pemakaman negara di Westminster Abbey pada 19 Sept. Jasad baginda akan dimakamkan bersebelahan makam suaminya, mendiang Putera Philip. Ribuan rakyat menyaksikan pengebumian baginda. Selain ribuan rakyat, turut hadir ialah pemimpin utama di seluruh negara termasuk Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Secara keseluruhannya, dengan mengambil kira pelbagai cuti bank, perbelanjaan pemakaman, dan keraian pertabalan, kemangkatan Ratu Elizabeth menelan kos sebanyak berbilion pound. Kos ini juga merujuk kepada pelbagai perubahan yang bakal berlaku seperti mata wang British yang baharu akan dicetak dengan gambar Raja Charles dan mata wang dengan gambar Ratu Elizabeth akan beransur-ansur dikeluarkan daripada penggunaan. Perkara sama juga akan berlaku kepada percetakan setem, pasport, dan uniform polis serta tentera. Malah, lagu kebangsaan akan ditukar kepada "God Save The King". Oleh itu, Operasi London Bridge akan dikenang dan boleh dikatakan pengebumian diraja terbesar dalam sejarah dunia.


Sumber ASTRO AWANI, UTUSAN & HMETRO.COM.MY

Tinggalkan komen

Sila ambil perhatian, komen mesti diluluskan sebelum ia diterbitkan