SAYEMBARA DEKLAMASI PUISI HARI KEMERDEKAAN

Aina Mastura Mohamed Saaid

Setiap tahun, menjelang bulan kemerdekaan, Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kemerdekaan tidak asing lagi sebagai salah satu acara yang dinanti-nantikan oleh penggiat sastera di negara ini. Namun begitu, adakah ramai yang mengetahui asal usul SPDHK ini?

Penulis berpeluang bertanyakan kepada mantan Setiausaha SDPHK iaitu Sasterawan Negara, Dato’ Dr Zurinah Hassan mengenai pengalaman beliau. Mesyuarat pertama SDPHK diadakan pada 16 Jun 1987 di Dewan Bahasa dan Pustaka. Menurut beliau juga, inilah merupakan kali pertama sebuah pertandingan deklamasi sajak dianjurkan secara besar-besaran oleh badan kerajaan. Acara ini juga telah menjadi sebahagian daripada sambutan Hari Kebangsaan.

Ketika itu, yang menjadi persoalan utama, apakah jabatan atau pihak yang sesuai untuk mengendalikan acara berprestij ini? Setelah bersetuju untuk menjalankan acara ini bermula daripada peringkat daerah, negeri dan seterusnya di peringkat kebangsaan, keputusan untuk menentukan siapakah yang harus memikul tanggungjawab mengendalikan program ini harus dicapai. Mesyuarat akhirnya bersetuju program ini dikendalikan oleh Jabatan Penerangan kerana jabatan ini memiliki beberapa prasarana yang sesuai. Program ini dimulakan secara sistematik dari peringkat daerah hingga peringkat negeri dan kebangsaan di seluruh negara.

Beliau merasakan ini ialah perjuangan peribadi kerana minat yang mendalam terhadap bidang puisi. Usaha beliau akhirnya membawa hasil dan arahan terus dikeluarkan kepada semua daerah daripada Ketua Pengarah Penerangan di Kuala Lumpur agar semuanya bersiap sedia mengendalikan SDPHK yang pertama. Ketika itu tidak semudah sekarang kerana segalanya bermula dari kosong. Beliau dan jawatankuasa pelaksana perlu menentukan sistem penghakiman, format pemarkahan, dan sebagainya. Jawatankuasa GAPENA dan tokoh-tokoh puisi dikumpulkan untuk bermesyuarat bagi menyelaras program ini. Setiausaha pertama ialah A.Ghafar Ibrahim (AGI) dan beberapa tahun kemudian Dato’ Zurinah pula menggantikannya.

SDPHK pernah terhenti buat seketika atas sebab yang tidak dapat dielakkan. Namun kini SDPHK kembali menjadi acara gilang-gemilang yang dinantikan oleh penggiat sastera. Lebih ramai pihak yang terlibat dan sudi membantu dalam menjayakan acara ini. Promosi juga lebih baik daripada dahulu dengan adanya media sosial yang mudah diakses oleh ramai orang. Harapannya agar acara ini tidak akan dilupakan dan akan terus menjadi warisan penyambung kepada generasi yang seterusnya.

Tinggalkan komen

Sila ambil perhatian, komen mesti diluluskan sebelum ia diterbitkan