KENANGAN PANDEMIK

KENANGAN PANDEMIK

Aina Mastura Mohamed Saaid

 

Hampir tiga tahun setelah berlakunya peristiwa Perintah Kawalan Pergerakan diarahkan kepada seluruh rakyat Malaysia akibat pengisytiharan Pandemik oleh WHO akibat COVID-19. Bukan sahaja Malaysia, tetapi hampir seluruh dunia berkurung bagi mengelakkan penyebaran virus yang ketika itu tiada vaksin dan ubatnya.

Walaupun era pandemik ini telah berakhir hampir setahun, namun begitu, pengalaman berada dalam suasana PKP bukanlah sesuatu yang mudah dilupakan. Ketika pandemik berakhir, pasti ramai yang gembira pada awalnya dan bersangka bahawa akan melupakan saat berkurung yang lama. Namun begitu, penangan PKP tidaklah semudah itu untuk dilupakan.

Setiap insan mengalami PKP dengan cara yang berbeza. Tahukah anda, sekiranya anda tidak terkesan dengan era pandemik, maka anda adalah antara insan yang sangat bertuah. Jika anda tidak pernah mengalami jangkitan virus pandemik, tidak hilang pekerjaan, tidak mempunyai masalah kewangan, dan tidak pula menghadapi masalah emosi dan mental, maka pasti mudahlah anda melupakan era tersebut.

Kesan daripada wabak COVID-19 ini membawa lebih banyak kesukaran kepada semua yang mengalaminya walaupun secara berbeza. Walaupun sudah berakhir, perubahan positif juga mencetuskan kebimbangan kepada semua orang untuk menyesuaikan diri kembali dengan apa yang telah berlaku. Ada yang hilang pekerjaan dan masih tiada pendapatan. Ada pula anak-anak yang mengalami masalah pembelajaran, dan ibu bapa tiada pengalaman untuk menghadapinya.

Terdapat beberapa cara untuk anda menghadapi tekanan emosi dan kebimbangan dalam menghadapi norma baharu kehidupan selepas pandemik. Antaranya ialah:

  1. Lakukanlah sesuatu mengikut kemampuan. Jangan terlalu memaksa diri dalam mencapai sesuatu.
  2. Elakkan perkara yang boleh menimbulkan tekanan dan kebimbangan dalam kadar bersederhana. Jangan mengelak terlalu lama kerana ia akan membawa kepada trauma yang lebih lama. Contohnya, sekiranya anda takut untuk berjumpa dengan orang, mungkin anda boleh mula dengan berjumpa dengan rakan yang baik dan selesa dahulu, sebelum membiasakan diri dengan kumpulan yang lebih ramai.
  3. Pastikan maklumat yang diperoleh dari sumber yang boleh dipercayai. Apa yang kita boleh pelajari dari era PKP ialah banyak berita palsu yang sering disebarkan bagi menimbulkan panik di kalangan masyarakat. Jadi, adalah penting untuk anda memastikan setiap berita atau maklumat yang dibaca adalah dari sumber yang betul bagi mengelakkan sebarang panik yang tidak sepatutnya.
  4. Jangan pendam sendiri perasaan yang mengganggu anda. Begitu juga dengan masalah. Sekiranya anda berasa terganggu dengan perasaan itu, adalah lebih baik untuk anda memilih seorang yang boleh dipercayai untuk berceritakan apa yang anda hadapi.
  5. Luangkan masa untuk berehat. Sentiasa adakan ruang untuk anda merehatkan diri. Hal ini baik untuk kesihatan mental dan fizikal anda.
  6. Jangan takut meminta bantuan. Sekiranya anda mengalami masalah kewangan atau masalah keluarga dan sebagainya, janganlah takut untuk mencari bantuan. Banyak pihak yang boleh membantu ketika ini, terutamanya dengan bantuan media sosial. Bersuara sekiranya memerlukan.

Pastinya pengalaman yang berbeza ini, telah memberi banyak pengajaran kepada ramai orang untuk berubah menjadi lebih baik dan lebih kuat untuk menghadapi dugaan dan cabaran. Kisah PKP dan era pandemik ini wajar diceritakan kepada generasi akan datang, agar mereka belajar menghargai kehidupan dan kesenangan yang mereka ada ketika ini. Dalam menjaga sebuah keharmonian komuniti, masyarakat dan negara, adalah penting peristiwa bersejarah seperti ini tidak dilupakan dan dijadikan panduan.

 

Tinggalkan komen

Sila ambil perhatian, komen mesti diluluskan sebelum ia diterbitkan