ULASAN BUKU: ANTOLOGI PUISI MERDEKA 60 - BIANGLALA MELUKIS SYURGA

 

Antologi Puisi Merdeka 60 Bianglala Melukis Syurga; sebuah buku antologi terbitan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA). Buku bertemakan ‘Kemerdekaan’ ini diselenggarakan oleh dua nama besar yang tidak asing lagi dalam dunia penulisan sastera iaitu Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan Rozlan Mohamed Noor. Menggunakan konsep kolaborasi, buku ini melibatkan 140 orang penulis mapan dan baru serta menghimpunkan 168 buah sajak mengikut tema.

Keunikan antologi ini bukan sahaja pada kulit depan buku yang menggunakan lukisan dudel tetapi isi dan kerja – kerja di belakang tabirnya yang penuh dengan semangat kemerdekaan serta perjuangan dunia sastera dan anak bangsa. Tempoh seminggu diberikan oleh penyelenggara untuk menghantar karya dan semua karya dinilai mengikut kriteria yang telah ditetapkan.

Puisi – puisi yang dipilih adalah puisi yang menekankan maksud kemerdekaan dan perasaan jiwa bangsa mengenai kemerdekaan. Setiap bait puisi yang ditulis memberi maksud kemerdekaan dan pastinya maknanya membuka hati para pembaca untuk memahami erti sebenar sebuah kemerdekaan. Nilai – nilai kemerdekaan penuh terisi dalam naskhah ini.

Jika dilihat pada kulit belakang antologi ini, beberapa nama besar memberikan ulasan mereka terhadap pengisian dalam buku ini. Antara individu yang memberikan ulasan mereka termasuklah Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan dan SN Baha Zain. Turut memberikan pandangan mereka mengenai penghasilan buku ini termasuklah Maman S Mahayana dari Universitas Indonesia, Noridah Kamari dari Singapura dan Abdul Razak Panaemale dari Universiti Wailalak, Thailand.

Terbukti naskhah ini bukan sekadar antologi puisi biasa tetapi semangat dan roh kemerdekaan yang disematkan dalam setiap baris ayat menyalakan obor patriotism dan membawa makna kemerdekaan untuk tatapan generasi kini dan akan datang. Naskhah ini harus dimiliki oleh setiap pencinta kemerdekaan. Hayati dan serapi suara hati para pejuang berpedangkan tinta.

 

Untuk membeli buku ini, klik di sini:

https://syahidahassanenterprise.com/products/antologi-puisi-merdeka-60-bianglala-melukis-syurga

Tinggalkan komen

Sila ambil perhatian, komen mesti diluluskan sebelum ia diterbitkan