HARI MALAYSIA LAMBANG PERPADUAN RAKYAT MALAYSIA

Oleh Aina Mastura


Pada Oktober 2009, Dato' Sri Najib Tun Razak telah mengumumkan bahawa pada 16 September, setiap tahun akan disambut Hari Malaysia, dan menjadi cuti umum kepada seluruh rakyat Malaysia. Apakah sejarah di sebalik 16 September ini? Ia merupakan tarikh keramat bagi Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Sebuah Perjanjian Penubuhan Persekutuan Malaysia telah ditandatangani oleh wakil-wakil kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura di London bagi membentuk satu gagasan baru.

Pada 16 September 1963, telah diisytiharkan penubuhan Malaysia sebagai sebuah negara baru, oleh Perdana Menteri kita yang pertama iaitu Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka. Beliau telah melaungkan perkataan MERDEKA sebanyak tujuh kali. Mengikut sejarah, seramai 30,000 orang rakyat menyaksikan pengisytiharan tersebut yang juga dihadiri oleh Yang Dipertuan Agong, Raja-Raja Melayu serta Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Sabah, Sarawak dan Singapura. Namun begitu, Singapura mengisytiharkan keluar Malaysia pada 9 Ogos 1965.

Apakah iktibar yang boleh diambil daripada sejarah penubuhan Malaysia? Sejarah memberi pengajaran kepada kita untuk menghargai jasa dan usaha pemimpin negara sama ada pemimpin masa lalu atau masa kini. Pentingnya rakyat Malaysia untuk menghargai usaha tokoh-tokoh yang telah memperjuang dan merealisasikan pembentukan sebuah negara Malaysia. Dalam usaha menghargai jasa dan usaha mereka, hendaklah kita sentiasa terus bersama dalam memajukan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman dan damai. Malaysia terkenal dengan kepelbagaian kaum dan agama yang mampu hidup bawah satu naungan yang sama. Maka, adalah penting untuk kita memastikan perpaduan ini dijaga dan dipelihara agar Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang unik dan harmoni.
Melalui penubuhan Malaysia juga, seharusnya rakyat melihat sebuah kestabilan politik dapat mewujudkan sebuah negara yang baharu. Tanpa kestabilan politik, akan berlakunya campur tangan daripada pihak luar yang akan mengakibatkan pecah belah dan akhirnya menjadikan sebuah negara itu berjaya dijajah. Semoga kita sentiasa mengenangkan pengorbanan dan perjuangan yang dilakukan dalam penubuhan Malaysia, terutamanya generasi muda. Sejarah itu ialah rujukan dalam kesinambungan sesebuah negara.

Generasi muda harus sedar bahawa betapa pentingnya peranan mereka dalam mempertahankan Malaysia. Tanpa mereka menyedari, mereka ialah pemimpin yang akan menerajui kemajuan negara ini. Oleh itu, adalah penting untuk generasi muda memastikan diri mereka sentiasa lengkap dengan ilmu pengetahuan agar mereka dapat menjadikan Malaysia lebih baik dan maju. Dengan ilmu pengetahuan juga, mereka dapat mengelakkan diri daripada mudah tertipu oleh anasir luar yang ingin mencuri kemewahan dan kedamaian negara Malaysia.

Walaupun rakyat kini dibentangkan dengan kemewahan teknologi dan pelbagai kemudahan, namun kita harus beringat agar tidak leka sehingga terlupa tentang sejarah yang membenarkan kita untuk merasai kemakmuran ini. Bayangkan sekiranya tokoh-tokoh tersebut gagal mendapatkan kemerdekaan dan juga gagal dalam menubuhkan Malaysia, kita tidak dapat merasai kebebasan yang dinikmati ketika ini. Pentingnya juga kita menghargai sejarah penubuhan Malaysia ini adalah dalam mengenal peradaban rakyat di negara ini. Tanamkanlah sifat patriotisme dalam diri anda agar penubuhan Malaysia ini tidak digadaikan sia-sia akibat kelalaian dalam kesenangan pada masa kini.

Tinggalkan komen

Sila ambil perhatian, komen mesti diluluskan sebelum ia diterbitkan