ULASAN BUKU: YA TUHAN! BANTU AKU BANGKIT

“Siapa bertakwa kepada Allah SWT nescaya Allah SWT akan membukakan jalan keluar baginya.”

Maksud firman Allah dalam surah At-Thalaq ayat 2 ini menggambarkan buku ini secara kasarnya. Buku Ya Tuhan! Bantu Aku Bangkit ini ditulis oleh penulisnya, seorang wanita berhati tabah yang berkongsi perasaan dan pengalaman peribadi beliau berkaitan kehidupan rumah tangga yang berantakan. Buku ini terhasil atas hasrat penulis untuk memberi kata-kata semangat untuk wanita yang mengalami nasib yang sama seperti beliau. Beliau mahu memberi inspirasi kepada para pembaca untuk tabah dan pertahankan maruah diri serta tidak takut dengan persepsi negatif masyarakat sekeliling tentang wanita yang ditinggalkan.

Pada peringkat awal, naskhah ini dihasilkan secara buku elektronik. Penulis gigih mempromosi buku dalam bentuk elektronik (e-book) sebelum dilamar untuk diterbitkan oleh pihak Must Read Sdn. Bhd. Kekuatan isi dan sokongan padu daripada para pembaca melahirkan naskhah yang terbaik untuk para wanita. Saya berasa kagum dengan kesungguhan penulis yang tekun meladeni kisah peribadi menjadi azimat penguat hati wanita.

Pada pandangan saya, buku ini lengkap dengan kata-kata semangat dan pandangan peribadi penulis bagi menaikkan semangat pembaca terutamanya pembaca yang senasib dengan beliau. Penggunaan bahasa dalam buku ini ringkas dan mudah untuk difahami. Pembahagian topik juga tidak sukar untuk dihadam. Penulis membahagikan buku ini kepada 9 bahagian iaitu Sebuah Catatan Pengalaman, Persediaan Mental, Perceraian dan Perundangan, Bangkit, Redah dan Reda, Jalan Ke Syurga, Terapi dan Mencari Bahagia. Setiap bahagian mempunyai beberapa bab yang tidak panjang. Penyampaian penulis yang bersahaja memudahkan saya untuk meneliti setiap isi dalam buku ini. Tidak membosankan.

Cuma, kekurangannya pada info atau maklumat yang berkaitan yang mungkin diperlukan oleh pembaca. Sewaktu pertama kali saya mengetahui mengenai buku ini, perkara yang terbayang di fikiran saya ialah info tentang cara untuk menangani masalah keganasan rumah tangga dan cara para isteri yang teraniaya mendapatkan bantuan pihak berkuasa sekiranya perlu. Namun, buku ini kekurangan isi ini.

Walau bagaimanapun, pembacaan saya tidak terhenti malah saya tekun membaca helaian demi helaian memandangkan topik yang diutarakan menarik perhatian saya. Bagi saya, penulis telah melakukan sesuatu yang terbaik untuk dirinya dan wanita yang lain. Perjuangan beliau melalui penulisan ini satu perkara yang perlu dipuji. Bukan mudah untuk menceritakan perihal diri yang tidak indah. Hanya kekuatan dalaman yang dapat merealisasikan penulisan buku ini. Tahniah kepada penulis yang berani membangkitkan isu keganasan rumah tangga dan penipuan. Harapan saya sebagai pembaca, semoga karya seperti ini terus dihasilkan untuk membangkitkan semangat para wanita untuk terus berjuang di muka bumi. Saya mengesyorkan buku ini ada pada rak buku setiap wanita. Tidak rugi untuk memiliki naskhah ini kerana hanya wanita yang mampu menyelami hati wanita.

Tinggalkan komen

Sila ambil perhatian, komen mesti diluluskan sebelum ia diterbitkan